Abu Jaafar Al-Haddad
merupakan salah seorang wali Allah yang sangat terkenal. Suatu hari beliau
mengikuti satu rombongan besar dalam perjalanan dari kota Basrah menuju ke kota
Baghdad dengan menaiki sebuah kapal menyusuri sungai Dajlah. Di antara sekian
ramai orang yang menyertai rombongan tersebut ada seorang lelaki yang menjadi
perhatian Abu Jaafar Al-Haddad. Selama di dalam pelayaran, lelaki tersebut tidak
pernah makan dan minum dan tidak pernah mengerjakan solat menyebabkan Abu Jaafar
tertanya-tanya pada dirinya sendiri dan ingin tahu rahsia di sebalik kelakuan
lelaki tersebut. Abu Jaafar Al-Haddad segera menghampirinya.
"Assalammualaikum saudara, boleh saya bertanya sedikit?" Sapa Abu Jaafar.
"Assalammualaikum saudara, boleh saya bertanya sedikit?" Sapa Abu Jaafar.
"Boleh, apa
salahnya." Jawab lelaki itu dengan tidak mengendahkan salam Abu Jaafar
Al-Haddad.
"Mengapa awak
tidak pernah mengerjakan solat dan berjemaah dengan kami? " Tanya Abu
Jaafar Al-Haddad.
"Saya ini bukan
orang Islam," jawab lelaki itu selamba
"Jadi, engkau beragama apa?" Abu Jaafar Al-Haddad mahu kepastian.
"Saya beragama Nasrani," jawabnya.
"Saya beragama Nasrani," jawabnya.
Abu Jaafar berpuas hati
dengan jawapan yang diberikan, namun masih ada satu lagi persoalan dalam
fikirannya iaitu bagaimanakah lelaki tersebut boleh tahan berhari-hari tidak
makan dan tidak minum.
"Saya lihat awak
tidak pernah makan dan minum?" Tanya Abu Jaafar.
"Saya bertawakal
kepada Tuhan." Jawabnya pendek.
"Saya juga
bertawakal kepada Allah," kata Abu Jaafar.
Ketika sampai ke suatu
destinasi untuk berehat, Abu Jaafar masih lagi asyik berbual dengan lelaki
Nasrani itu sehinggalah tiba waktu makan. Riuh rendahlah orang ramai ke sana ke
mari mencari dan membuka bekalan masing-masing. Ada yang naik ke darat mencari
sesuatu barang keperluan sebelum menyambung pelayaran. Tapi Abu Jaafar dan
lelaki Nasrani yang masih lagi berbual-bual itu sudah berazam untuk bertawakal
saja, tidak mahu berbuat demikian. Apabila orang ramai melihat kedua-dua mereka
ini tidak mempunyai sebarang makanan, merekapun mengajaknya untuk makan bersama.
Tapi Abu Jaafar dan lelaki itu tetap dengan pendirian mereka tidak mahu makan.
"Mari kita keluar
dan berjalan di darat sana," kata Abu Jaafar kepada lelaki Nasrani itu.
"Boleh, tapi
dengan syarat..." kata lelaki Nasrani.
"Apa
syaratnya?" tanya Abu Jaafar.
"Jika kita masuk
ke dalam kampung, tuan mesti berjanji yang tuan tidak akan masuk ke dalam
masjid, dan begitu juga saya tidak akan masuk ke dalam gereja," terang
lelaki Nasrani itu.
"Ya saya
berjanji," kata Abu Jaafar dengan penuh yakin.
Merekapun berjalan
merentas tanah yang terbentang luas sehingga senja mereka pun duduk istirehat
berhampiran dengan tempat membuang sampah. Tiba-tiba datang seekor anjing hitam,
mulutnya menggigit roti dan diletakkannya di hadapan lelaki Nasrani itu.
Rupa-rupanya anjing itu hanya menghantar makanan untuk lelaki Nasrani yang
bertawakal itu saja. Lelaki Nasrani tadi mengambil roti itu dan dimakannya
dengan senang hati tanpa menoleh-noleh lagi kepada Abu Jaafar, apalagi hendak
mempelawanya makan bersama. Akhirnya habis roti itu dimakan oleh lelaki
Nasrani tersebut.
Setelah itu
kedua-duanya meneruskan perjalanan meninjau-ninjau di kawasan perkampungan
sehinggalah waktu senja. Apabila kepenatan, mereka berehat lagi. Tiba-tiba
datang lagi anjing hitam itu membawa roti di mulutnya dan diletakkannya di
hadapan lelaki Nasrani itu lalu dimakannya. Demikianlah yang terjadi setiap
hari. Setiap kali si Nasrani mendapatkan makanan yang dihidangkan oleh seekor
anjing hitam, dia memakannya sendiri tanpa menoleh dan mempelawa temannya
menikmati bersama. Sementara Abu Jaafar sendiri, sibuk dengan mengerjakan solat
setiap kali ketika lelaki Nasrani itu makan.
Pada hari
keempat
kedua-dua hamba Allah yang sudah saling kenal mengenali itu melalui
sebuah
perkampungan. Oleh sebab matahari sudah terbenam, mereka berhenti di
suatu
tempat bagi membolehkan Abu Jaafar Al-Haddad mengerjakan solat Maghrib
di situ,
sedang lelaki Nasrani itu memerhatikan dari jauh. Di dalam hatinya
memuji Abu
Jaafar Al-Haddad rajin menunaikan ibadah sembahyang walaupun mengikut
perjanjian Abu Jaafar tidak boleh pergi ke masjid, namun dia tetap
melakukan
sembahyang.
Tiba-tiba datang
seorang lelaki membawa sebuah dulang yang berisi makanan dan sebuah kendi berisi
air. Dia berdiri di situ sehingga Abu Jaafar selesai solatnya. Setelah
mengucapkan salam, orang itu meletakkan dulang yang dibawanya di hadapan Abu
Jaafar.
"Sila bawa makanan
ini kepada lelaki itu!" Kata Abu Jaafar kepada orang yang membawa dulang
sambil menunjuk ke arah lelaki Nasrani tersebut.
Tanpa berkata apa-apa
orang itu membawanya kepada lelaki Nasrani yang berada tidak jauh dari situ,
sementara Abu Jaafar masih asyik mengerjakan solat.
Setelah Abu Jaafar
selesai solat, lelaki Nasrani itu datang kepadanya dengan membawa dulang tadi.
"Wahai Abu Jaafar!
Allah telah memperlihatkan kepadaku bahawa agamamu (agama Islam) adalah lebih
baik daripada agamaku," kata lelaki Nasrani itu.
"Dari mana engkau
mengetahui perkara ini?" Tanya Abu Jaafar Al-Haddad.
"Buktinya sudah
cukup jelas. Ianya berlaku di hadapan mataku ini." Terang lelaki Nasrani
itu lagi.
"Cuba awak
terangkan kepada saya apa yang berlaku di hadapanmu itu?" Tanya Abu Jaafar
menduga.
"Aku makan
rezeki
yang dihidangkan oleh seekor anjing, sedangkan aku adalah seorang
manusia,
berbeza dengan rezekimu dihidangkan oleh manusia. Maka dengan itulah aku
tahu bahawa Islam itu adalah agama yang terbaik daripada agamaku." Kata
lelaki Nasrani itu.
"Sekarang apa yang
awak mahu?" Sambung Abu Jaafar.
"Tuan ! Sekarang
juga dengan kerelaan hati saya sendiri, saya akan meninggalkan agama saya dan
masuk agama Islam." Kata lelaki Nasrani itu.
Maka ketika itu juga
lelaki Nasrani itu mengucapkan dua kalimah syahadah
di hadapan Abu Jaafar
Al-Haddad Dia lalu membuang semua tanda-tanda atau lambang-lambang
Nasrani yang ada pada dirinya. Abu Jaafar bersyukur kepada Allah Subhanahu
Wata'ala. yang
telah membuka pintu hati temannya untuk menerima Islam.
Semoga Allah memberikan
rahmat kepada mereka yang telah mengambil Islam sebagai panduan dan pegangan
hidup mereka . Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kita kepada agama
Islam dan dijadikannya kita sebagai umat Nabi Muhammad Shallallahu
‘alaihi wasallam.
* Dipetik dari kitab Raudhur Rayyahin Fii Hikayatus Salihin karangan Syeikh Imam Abdullah bin As’ad bin Fallah al-Yafii al-Yamany Asy-Syafie.
* Dipetik dari kitab Raudhur Rayyahin Fii Hikayatus Salihin karangan Syeikh Imam Abdullah bin As’ad bin Fallah al-Yafii al-Yamany Asy-Syafie.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar